MENGURANGKAN JARAK

1. Dalam sejarah manusia yang miskin biasanya bermusuh dengan yang kaya. Kerapkali pula permusuhan antara mereka berakhir dengan rusuhan berdarah.

2. Contoh yang jelas ialah perang saudara yang berlaku di Perancis dan Rusia. Apabila menang puak yang miskin akan membunuh puak yang kaya. Demikian dengan raja Perancis dan Rusia.

3. Di United Kingdom (UK) puak miskin tidak mengganas. Dengan mengguna mogok atau strike, pekerja yang rata-rata miskin memaksa masyarakat memberi kuasa kepada puak pekerja. Dan wujudlah parti buruh.

4. Masyarakat manusia perlu ambil iktibar dari peristiwa rusuhan antara miskin dan kaya. Jika masyarakat ingin elak permusuhan yang ganas berlaku antara miskin dan kaya, jarak antara miskin dan kaya dari segi pendapatan hendaklah dikurangkan.

5. Di Malaysia kita juga sedar ada perbezaan yang ketara antara yang miskin dengan yang kaya. Yang lebih bahaya ialah miskin dan kaya dikait dengan kaum. Demikian ramai yang miskin terdiri dari orang Melayu dan yang kaya dari orang Cina. Memang pun kedua-dua kaum tidak rapat dalam hubungan antara mereka.

6. Perasaan perkauman tidak disukai oleh para intelek. Tetapi hakikatnya ialah perasaan ini terdapat dalam semua kaum di Malaysia.

7. Kemungkinan rusuhan antara kaum berlaku kerana dipisah juga oleh kemiskinan dan kekayaan antara mereka tidak boleh dipandang ringan.

8. Ada pihak yang akan berkata perkara ini tidak patut disuarakan. Konon menyuara perkara ini sama seperti menggalak isu ini disedari dan dijadikannya sebagai isu yang boleh membakar perasaan kaum-kaum. Kononnya lebih baik perkara ini dilupakan sahaja.

9. Malangnya jika isu ini tidak ditangani dengan bijak ia akan jadi lebih teruk. Dan apabila ia meletup, permusuhan akan jadi lebih buruk dan lebih sukar ditangani. Adalah lebih baik jika awal-awal lagi sebelum jarak perpisahan menjadi lebih teruk, tindakan diambil untuk meredakan keadaan.

10. Sebab itu affirmative action atau tindakan mengurangkan jarak perpecahan, perlu dilakukan lebih awal. Ya. Dasar Ekonomi Baru dikatakan gagal. Tetapi dalam bidang pelajaran ia berjaya kurangkan jarak antara kaum. Dalam bidang ekonomi, kelemahan DEB telah dikenal pasti. Pembetulan juga sudah dibuat. Dengan ini DEB akan mencapai kejayaan yang lebih baik.

Leave a Reply